Monday, April 16, 2012

Tokoh Geografi Islam..

Abu Abdullah Muhammad al-Idrisi al-Qurtubi  al-Hasani al-Sabti

Al-Idrisi dikenali oleh masyarakat Barat sebagai ahli geografi yang telah membuat glob dunia daripada bahan perak seberat 400 kg untuk Raja Roger II dari Sicilia (sekarang disebut sebagai Sicily, sebuah pulau yang terletak di selatan Itali). Beberapa mahasiswa menyanjungnya sebagai ahli geografi dan kartografi terhebat pada abad pertengahan. Beliau dilahirkan di Ceuta (Sabtah), Afrika Utara pada tahun 493 H/1100 M. Namun kawasan Ceuta termasuk dalam wilayah Sepanyol. Beliau berketurunan daripada pemimpin Bani Hammudiyah yang pernah memerintah Malaga, Cueta dan Tangier hingga 1084 M. Beliau dikatakan berketurunan langsung kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau juga dikenali dengan nama pendek beliau iaitu al-Sharif al-Idrisi al-Qurtubi. Sumbangan Andalus yang terbanyak sekali dalam bidang geografi ialah daripada segi pengembaraan dan kartografi. Para pengembara Andalus telah mengembara jauh ke merata tempat di dalam dan juga di luar negeri untuk mencari maklumat mengenai geografi. Ini tidak terkecuali dengan al-Idrisi. Karyanya banyak menyajikan data komprehensif dari setiap wilayah di dunia. Al-Idrisi wafat pada tahun 560 H/1165 M ketika beliau berusia 65 tahun.


Selain belajar kepada para ilmuwan terkemuka yang ada di kota Cordoba, Al-Idrisi juga belajar menerusi buku-buku karya ilmuwan geografi terkemuka seperti Ptolemy, Ibnu Hauqal, Al-Mas’udi, Al-Udzri, dan tokoh-tokoh lain. Lebih daripada itu, beliau juga sering menghabiskan waktunya untuk menelaah dan mengkaji karya-karya ilmuwan geografi terdahulu.


Kejayaan unggulnya ialah beliau berjaya menghasilkan peta dunia. Al-Idrisi membahagikan bahagian utara dunia kepada tujuh kawasan dengan cuaca yang berbeza, kemudian beliau membahagi masing-masing kawasan kepada sepuluh bahagian yang mempunyai garis bujur yang sama. Beliau menggambarkan setiap bahagian yang jumlahnya 70 bahagian. Keseluruhan daripada peta yang jumlahnya 70 tersebut menjadi satu peta yang mencakupi seluruh dunia, yang kemudian dikenal dengan Peta Al-Idrisi. Peta Al-Idrisi merupakan peta paling terperinci dan mengagumkan yang pernah dikenal dalam ilmu geografi dan seni melakar dan menggambarkan peta (cartography) pada masa itu. 

Peta Al-Idrisi dilandaskan kepada suatu pengetahuan yang mantap akan bentuk bumi yang bulat. Dasar-dasar pemikirannya bersumber rujukan-rujukan dari Barat dan Islam secara seiring. Peta itu juga dihasilkannya menerusi pengalaman peribadinya dan maklumat-maklumat ilmiah.Peta Al-Idrisi telah menjadi acuan bagi peta-peta yang digambar pada masa kebangkitan dan juga merupakan titik awal bagi ditemukannya geografi pada era kemasyhurannya. Christopher Columbus sendiri menggunakan peta yang dilukis berdasarkan peta Al-Idrisi semasa pelayarannya. 


Selain dikenali sebagai pakar geografi, beliau juga terkenal dalam bidang perubatan dan farmasi. Al-Adwiyah Al-Mufrijah merupakan buku yang beliau hasilkan, membicarakan tentang kedua-dua bidang tersebut. Di dalam buku ini, Al-Idrisi menyebutkan nama preskripsi ubat-ubatan dengan menggunakan 12 bahasa.


Dalam bidang ilmu tumbuh-tumbuhan (botani) dan farmasi, Al-Idrisi telah menulis sebuah buku yang berjudul Al-Jami’ Liasytaat An-Nabaat. Buku ini disusun berdasarkan huruf abjad. Ilmuwan Perancis, Jack Risler mengatakan bahawa Al-Idrisi telah menyebutkan kegunaan 360 jenis tumbuh-tumbuhan dalam membuat preskripsi ubat-ubatan.Selain itu, Al-Idrisi juga seorang sasterawan dan penyair. Dalam bidang ini beliau juga telah berhasil menulis beberapa buah buku.


Pada tahun 1866 M, sebahagian daripada buku Al-Idrisi yang berjudul Nuzhat Al-Musytaq telah dicetak ulang di London. Buku tersebut berjudul Shifat Al- Maghrib Wa As-Sudan wa Mishr Wa Al-Andalus.Pada tahun 1926, seorang orientalis, Kotard Moleh menerbitkan peta-peta Al-Idrisi, dan Lembaga Keilmuwan Iraq telah mencetak ulang peta-peta tersebut pada tahun 1951 M. Kemudian pada tahun 1970-an, beberapa badan penerbitan dan percetakan di Itali telah mencetak ulang buku Nuzhat Al-Musytaq.

Sumber : Maruwiah, Berita Harian Online, Wikipedia


No comments:

Post a Comment